Pages

Monday, October 18, 2010

MARI MENANAM SAHAM AKHIRAT!


Assalamualaikum rakan-rakan alam maya, moga sentiasa ceria dan sihat hendakNya.. lama tidak menulis, kesibukan sentiasa menghambat diri.. MasyaAllah..macam la berjawatan Perdana Menteri!! Kali ini saya hanya ingin berkongsi mengenai satu pamplet yang saya temui semasa singgah untuk menunaikan solat zuhur di sebuah surau yang terletak di Taman Gelora, Kuantan. Pamplet itu berjaya menarik perhatian saya dan ingin saya kongsikan bersama rakan-rakan pembaca tentang apa yang saya perolehi.

Pamplet ini memberi maklumat tentang sebuah maahad tahfiz yang memerlukan bantuan kewangan . Orang ramai yang berminat untuk menghulurkan bantuan/derma boleh berbuat demikian dengan kaedah yang lebih sistematik untuk menampung kos perbelanjaaan maahad tahfiz tersebut.

Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran atau lebih dikenali sebagai MABIQ merupakan maahad tahfiz persendirian yang berkonsepkan pendidikan kebajikan untuk anak yatim dan fakir miskin. Ianya telah diasaskan oleh Ustaz Jamaluddin dan isterinya Umee Ruziani di atas tanah sendiri berukuran kurang setengah ekar di Kg Peramu, Tanjung Lumpur, Kuantan. Pengasas MABIQ ini mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi. Ustaz Jamaluddin bin Abdul Jabbar berpendidikan Sarjana Agama Ilmu Pendidikan Islam, Yogyakarta dan mempunyai sijil Perkhidmatan Kaunseling, UTM manakala isterinya berpendidikan BA(hons) TESL, Uitm dan Diploma Sains Aktuari, Uitm. Usaha murni pasangan berhati mulia ini perlu di bantu bukan sahaja oleh badan-badan NGO atau kementerian kebajikan sahaja tetapi ia perlu mendapat sokongan dari orang ramai sendiri.

Keperluan kewangan bagi setiap bulan ialah sejumlah RM 15,000 sebulan. Oleh kerana MABIQ tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap, pihak pengurusan ingin memberi peluang kepada orang ramai untuk sama-sama menyumbang/membantu mereka dari sudut kewangan dan keperluan lain.

Kaedah-kaedah yang boleh dibuat adalah seperti berikut:

1. menjadi ahli penderma tetap RM 10 sebulan atau RM 120 setahun untuk
menampung keperluan makanan, pendidikan dan pengurusan pelajar MABIQ,
2. tawaran kepada badan korporat untu menaja elaun bulanan 5 orang guru Al-Quran dan
akademik,
3. tawaran membeli wakaf tanah dan pembangunan MABIQ Jerantut dengan nilai RM25 sekaki,
4. tawaran derma makanan seperti minyak masak, roti , gula, telur, bee hoon dll.

Pihak pengurusan juga kini sedang membina MABIQ cawangan di Kampung Bukit Genting, Tebing Tinggi Jerantut yang terdiri daripada asrama, kelas, surau, dua bilik penginapan guru, dapur dll. Pembinaan tersebut dianggarkan RM 250,000 dan sangat memerlukan sumbangan orang ramai bagi tujuan itu.

Apa yang lebih menarik minat saya mengenai MABIQ ini adalah kerana hala tuju pendidikannya yang jelas dan terancang. MABIQ menawarkan pendidikan bertaraf:

  • Sijil Tahfiz Al-Quran dan Al Hadits MABIQ yang memberi kelayakan menjadi imam dan bilal
  • Diploma Al-Quran An Waal Qiraat, Pendidikan Islam, Kaunseling, Pertanian dll
  • Sarjana Muda Al-Quran An Waal Qiraat, pendidikan Islam, Kaunseling, Pertanian dll
MABIQ juga mempunyai misi yang jelas di mana mendidik pelajar penguasai hafazan Al-Quran dan al Hadits, boleh bertutur bahasa Arab dan Inggeris, berkemahiran mengurus diri dalam organisasi, berpengetahuan dalam ilmu pertanian moden dan pengurusan perniagaan.

Ini jelas membuktikan bahawa pelajar lepasan Maahad Tahfiz bukan hanya mementingkan ilmu ukhrawi semata-mata tetapi menguasai ilmu duniawi juga. Keseimbangan pendidikan ini sangat penting untuk menjamin mereka merencana kehidupan di dunia supaya mereka tidak terumbang- ambing melayari bahtera kehidupan di masa hadapan. Ia juga dapat menangkis tanggapan masyarakat yang memandang rendah kepada pelajar lepasan maahad atau sekolah pondok kononnya kehidupan mereka hanya di atas tikar sejadah semata-mata atau hidup atas dasar sedekah oleh orang ramai sahaja kerana tidak ada kemahiran untuk bekerja.

Bagi sesiapa yang berminat untuk membantu mereka boleh;
  • hubungi Ustaz Jamal - 016-95401234
  • hubungi Ustazah Umee- 016-9535699 atau,
  • melalui Akaun Maybank - 556 011 011 889 atas nama Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran.
Akhir kata, saya ingin menyeru rakan-rakan terutama yang berada di Pahang beramai-ramai membantu Maahad ini. Jangan kita hanya sibuk menyimpan saham di dunia ini tetapi yang lebih utama menanam saham pada kehidupan yang tidak ada mati-mati lagi. Renungkanlah jika kita pergi ke pasar malam mungkin kita boleh habiskan RM 50 untuk anak-anak kita, takkanlah RM 10 sebulan tidak mampu kita keluarkan untuk puluhan anak yatim yang sedang dahagakan ilmu. Ayuh! kita tanam saham kehidupan yang lebih abadi!

4 comments:

ummu said...

salam ummu tasnnem
tq atas perkongsian ini

zulkbo said...

salam..
ermmm..sesamalah kita
mencari amalan bekal
di akhirat..

Ummu Tasneem said...

sama-sama ummu.. ini jelah yg termampu dibuat. apalah sgt jika di banding pengorbanan pasangan suami isteri tersebut..

Ummu Tasneem said...

to zulkbo..

betul tu.. asyik sibuk dgn urusan dunia je..

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails