Pages

Friday, August 20, 2010

SAMBUTAN HARI RAYA DI KOMERSIALKAN


Assalamualaikum rakan pembaca.... hari ini genaplah sepuluh hari Ramadhan 1431 hijrah.. Bagaimanakah dengan ibadah puasa anda dan lain-lain ibadah yang dituntut pada bulan yang barakah dan mulia ini? Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk terus beribadah dengan sempurna dan mendapat ganjaranNYA..

Kali ini saya ingin mengajak anda melihat fenomena biasa mengenai sambutan bulan Ramadhan di negara kita yang tercinta ini. Jika kita bandingkan situasi negara kita dengan negara-negara Arab, banyak perbezaan dalam hal menyambut bulan ramadhan ini. Seorang rakan yang pernah tinggal di negara arab pernah bercerita situasi di sana berbeza dengan Malaysia. Orang-orang Arab berpesta menyambut bulan ramadhan.. pada bulan ini lah segala amalan yang baik di perbanyakkan seperti beribadah, beriktikaf, membaca Al-Quran, bersedekah, menjamu saudara seIslam berbuka dan sebagainya. Suasana begitu tidak kelihatan di Malaysia, di awal Ramadhan masjid dilimpahi manusia untuk menunaikan ibadah tarawih tetapi ianya semakin berkurangan terutama di penghujung Ramadhan. Ini berlawanan dengan ajaran Islam di mana akhir Ramadhan umat Islam digalakkan membanyakkan ibadah kepada Allah dan merebut peluang malam 'lailatul qadar'. Nabi juga pernah berpesan memperbanyakkan ibadah pada 10 malam terakhir.


Pusat-pusat membeli belah dan syarikat-syarikat korporat mula mengambil kesempatan mempromosikan barangan masing-masing dengan pelbagai cara untuk melariskan jualan mereka. Pelbagai slogan yang mereka gunakan seperti 'mega sale sempena raya', 'Jualan Syawal Mega', 'harga runtuh sempena aidilfitri' dan macam-macam lagi untuk menarik orang ramai membelinya. Media cetak dan elektronik juga turut menyumbang kepada budaya hedonisme dan materialisme di dalam bulan yang mulia ini melalui iklan yang agresif sehingga berjaya mempengaruhi masyarakat serta menyediakan pelbagai jenis program berunsurkan hiburan khas untuk tayangan Aidilfitri. Saya pernah mendengar satu iklan di radio, sebuah bank terkenal mempromosikan pembiayaan peribadinya dengan mengalakkan pengguna berhutang semata-mata untuk memenuhi keperluan aidilfitrinya. Pengiat-pengiat filem juga berebut untuk menayangkan filem mereka di Aidilfitri dan menarik anak-anak remaja untuk menonton wayang pada Aidilfitri!! Ramadhan dan Aidilfitri menjadi bulan untuk merangsang pengguna kepada tabiat membazir. Mereka yang berpendapatan rendah juga turut terpengaruh dengan iklan-iklan tersebut sehingga memerangkap mereka membeli barangan yang tidak diperlukan sehingga mengheret mereka untuk berhutang.

Saban tahun lebih ramai Umat Islam membanjiri pusat membeli belah dan bazaar Ramadhan dari masjid!.. Permandangan sebegini memang tidak asing lagi terutama pada penghujung Ramadhan. Masing-masing menyibukkan diri dengan persiapan aidilfitri daripada menggunakan masa tersebut untuk memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran. Dalam keadaan negara yang dilanda kenaikan harga barang dan minyak tidak mustahil ramai yang berhutang semata-mata untuk menyediakan kelengkapan Aidilfitri yang ternyata jauh bertentangan dengan syariat Islam yang memuliakan bulan ramadhan. kedatangan Syawal lebih dinantikan dari Ramadhan, sebab itulah Malaysia terkenal dengan raya 30 hari. Jika umat Islam di negara lain sibuk dengan ibadahnya berbeza dengan kebanyakkan umat Islam di Malaysia sibuk bershopping untuk menyambut Aidilfitri. Bukan sedikit wang yang dibelanjakan semata-mata untuk menyediakan majlis 'rumah terbuka' sepanjang Syawal. Hal ini berleluasa setiap kali menjelang bulan Ramadhan dan Syawal.

Siapakah yang perlu disalahkan? media massa, pusat membeli belah, kerajaan atau umat Islam sendiri yang lemah imannya? Persatuan Pengguna Pulau Pinang pernah mencadangkan beberapa langkah untuk menyekat budaya tidak sihat ini seperti: mengharamkan sebarang iklan yang menggunakan Ramadhan dan Aidilfitri untuk mempromosi barangan mereka dan menyekat media elektronik menyediakan program raya yang bercanggah dengan roh Ramadhan. Pada pemerhatian saya, budaya tidak sihat itu masih lagi berleluasa dan cadangan CAP hanya dipandang sepi oleh pihak berwajib.

Satu usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan oleh semua pihak supaya keberkatan dan roh Ramadhan tersemat di hati semua umat Islam di Malaysia yang bertuah ini. Umat Islam seharusnya mengambil kesempatan menambahkan ibadah dan jadikan bulan ini sebagai 'turning point' untuk kita memperbaiki diri kita untuk menghadapi 11 bulan yang penuh cabaran.
Jom kita berpesta Ibadah!!

11 comments:

Werdah said...

Salam.

Memang ketara, bulan yang sepatutnya diperbanyakkan usaha meraih keberkatan dah jadi sebaliknya.

Abd Razak said...

Salam..

Peristiwa aneh sering berlaku dalam bulan Ramadhan, awalnya masjid penuh dengan jemaah dan di akhirnya jemaah kian sedikit dan akhirnya bila Ramadhan berlalu, masjid menjadi sepi semula..

Ummu Tasneem said...

walaikumussalam..

begitulah saban tahun.. sedihkan?

Anonymous said...

Kita sudah terperangkap dengan budaya 'konsumerisme' - membeli belah selagi ada wang walaupun ianya tidak perlu serta membeli belah adalah trend semasa. Budaya ini ditunjangi oleh kapitali pemodal yang mahu menukarkan modal menjadi keuntungan. Apabila keuntungan menjadi matlamat, maka aspek nilai-agama-budaya akan terpinggir. Jawapan penyelesaian ialah pemegang polisi perlu ubah polisi, pemilik wang perlu kekang nafsu dalam diri

Ummu Tasneem said...

WAH INFO BARU UTK SAYA..TQ.. KLU NAK JADI PENJUAL PUN BIARLAH ASPEK2 KEAGAMAAN DIUTAMAKAN JGN SAMPAI RAMADHAN DAN SYAWAL DISALAH KOMERSIALKAN..

KADANG2 BRG2 YANG DI IKLANKAN PUN TAK DE KENA MENGENA UTK HARI RAYA TP NAK JUGA GUNA TAG LINE RAMADHAN DAN SYAWAL..ITU LAH NATIJAH JIKA PENJUAL BUKAN ORG BERAGAMA ISLAM.

Pencacai Alim said...

awal ramadhan je ramai..masuk fasa ke2, boleh tahanla..fasa 3 dan akhir, ramai yg dh takde..sbb nk beli kepek bawang

Ummu Tasneem said...

mcm world cup la.. awal2 byk la negara bertanding masuk semi final tinggal berapa dah final tinggal 2 negara je.. yang paling layak.. jadi ramadhan pun sama.l. sapa yang benar2 layak saya akan ke pusingan akhir!!

dairiibu said...

salam.
saja nak kongsi sikit, dengar dari ceramah semalam . penceramah tu kata, ramai dari kita rasa ramadan tu untuk puasa saja , pun kadang disebut bulan puasa. Ramai tak sedar ramadhan tu pengisian nya banyak. Bukan takat puasa saja tapi sebenarnya bulan sale untuk semua aktiviti dari yang sekecil2 sampailah perkara besar sbb
pahalanya berganda2 tapi sbb tak nyata ramai lah yang tak nampak sbb hanya boleh tgk ngan matahati yang bersalut iman saja. Yang kat lain tu nyata sbb tu berebut sakan.

Ummu Tasneem said...

waaalaikummusalam... tq perkongsian..

Zue said...

Jazakillah ya ukhti utk entri ini..

Impak budaya hedonisme sungguh membimbangkan.. Anak-anak yang masih kecil terdedah dengan rancangan TV berupa muzikal, filem yang sarat hiburan palsu sedangkan anak-anak pada saat ini perlu ditanamkan konsep ketauhidan dalam membentuk peribadi muslim. Cadangan CAP patut diberi perhatian bkn hanya dipandang sepi.. InsyaAllah moga usaha yang sedikit membuahkan hasil...

Ummu Tasneem said...

ia salsabila, sy mmg bersetuju..jgn dikatakan anak2, orang dewasa pun boleh terpengaruh dgn budaya hedonisme ini..di sekeliling kita semuanya pengaruh tidak baik..moga kita semua dapat bertahan..

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails