Pages

Tuesday, August 3, 2010

TENTUKAN PORTFOLIO PELABURAN ANDA!



Assalamualaikum rakan-rakan.. semoga kita semua sentiasa sihat dan dalam rahmat lindunganNYA.. baru-baru ini saya ada membaca satu artikel yang menarik dan membuatkan saya berfikir mengenainya. Ianya berkaitan dengan pengurusan kewangan dan pelaburan.. Rata-rata daripada kita mempunyai impian untuk mengecapi taraf kehidupan yang selesa dan bebas dari masalah kewangan. Sang suami bekerja keras untuk memastikan ahli keluarganya hidup dengan selesa, si isteri juga bekerja untuk membantu meringankan beban suaminya. Kebanyakan dari kita mempunyai keinginan untuk memiliki kereta, rumah, pakaian berjenama dan macam-macam lagi impian selaras dengan taraf kehidupan hari ini. Tidak salah mempunyai impian selagi ianya selari dengan kehendak syariat. Tetapi adakah kita membuat perancangan untuk mencapai impian tersebut?



Dilema yang sentiasa di alami oleh kita ialah kos sara hidup yang semakin meningkat.. harga barang sentiasa naik begitu juga aset lain seperti rumah. Contohnya, harga rumah teres yang berukuran 20'x 70' pada 3-4 tahun lepas masih lagi dalam sekitar RM130,000-140,000. Tetapi sekarang harganya boleh mencecah RM 170,000! Apabila harga barang meningkat, nilai wang semakin mengecil. Apabila sudah berkeluarga, masing-masing mempunyai impian untuk memiliki kediaman sendiri dan kenderaan untuk bergerak. Kebanyakkan dari kita akan mendapatkan pembiayaan dari bank untuk memiliki dua aset penting tadi. Mungkin hutang kenderaan akan selesai sebelum kita bersara tetapi bagaimana dengan rumah kediaman? Tempoh pembiayaan rumah boleh mencecah sehingga 30 tahun. Andaikan kita membeli rumah pada umur 30 tahun, bermakna pada umur 60 tahun barulah pembiayaan rumah selesai!


Bayangkan anda sudah berpencen tetapi masih menanggung beban hutang. Menurut statistik KWSP, 90% pencarum mempunyai simpanan kurang dari RM 100,000 apabila berumur 55 tahun. Ini bermakna purata pendapatan bulanan daripada simpanan KWSP hanya RM 475 sebulan jika jangka hayat mencecah 75 tahun. Kajian juga menunjukkan 72% pencarum KWSP menghabiskan simpanannya dalam masa 3 tahun!! Jika melihat senario masyarakat kita, rata-rata apabila sudah berpencen masih lagi terpaksa bekerja.. bermula lah episod baru sebagai pengawal keselamatan, pemandu, tukang kebun, tukang sapu dsbnya. Mungkin alasan mereka bosan duduk di rumah kerana sudah biasa bekerja, tetapi kebanyakkan daripada mereka 'terpaksa' bekerja kerana sudah kehabisan wang! Bukankah sepatutnya pada usia emas, masa untuk berehat dan menumpukan kepada beribadat bukan lagi berhempas pulas mencari wang untuk meneruskan saki baki usia kita? Kesihatan juga sudah semakin merosot.

Oleh kerana itulah, aspek perancangan kewangan perlu di ambil perhatian.. ianya bukan sahaja untuk memastikan segala impian kita tercapai tetapi yang lebih utama menghadapi hari persaraan dengan tenang dan bebas dari masalah kewangan. Ilmu pengurusan kewangan perlu dicari begitu juga dengan ilmu pelaburan.

Langkah pertama bagi anda untuk mengecapi kehidupan yang anda impikan ialah dengan menyediakan portfolio pelaburan anda sekeluarga. Komponen yang penting dalam portfolio tersebut ialah dana kecemasan (reserved fund), pelan takaful, pelan persaraan dan pelan pelaburan yang pelbagai. Untuk dana kecemasan, kita mempunyai wang tunai di dalam bank sekurang-kurangnya 6 bulan jumlah perbelanjaan kita. Jika anda memerlukan RM3,000 untuk membayar semua utiliti, pinjaman dan perbelanjaan lain, maka anda memerlukan RM18,000.

Langkah kedua, pastikan semua ahli keluarga anda dilindungi. Pelbagai skim takaful yang disediakan oleh syarikat-syarikat Takaful oleh itu pilihlah pelan perlindungan yang sesuai dan tidak membebankan. Menariknya kebanyakan pelan takaful juga menyediakan simpanan pada akhir tempoh matang. Di samping anda sekeluarga dilindungi ia juga dapat menambahkan simpanan anda.

Untuk langkah ketiga, sediakan pelan persaraan pula. Sebaiknya-sebaiknya ia perlu merangkumi jumlah saraan bulanan, jumlah tanggungan keluarga jika anak masih bersekolah dan juga mungkin juga simpanan untuk melancong. Mengikut kajian Encik Sasitharan Krishnan, Pengarah Remark Malaysia, kita memerlukan simpanan 1 JUTA untuk hidup selesa selepas bersara. Ia kedengaran seperti tidak masuk akal dan tidak mungkin kita yang bekerja makan gaji dapat mengumpul wang sebanyak itu. Sebenarnya ianya tidak mustahil jika kita berusaha dan beristiqamah untuk menyediakan simpanan dan pelaburan. Beruntungnya kita kerana banyak institusi-institusi kewangan di luar sana yang menjanjikan pelaburan yang memberangsangkan. Apa yang penting dapatkan ilmu pelaburan yang betul dan bertanyalah kepada yang pakar. Tidak semestinya anda perlu terlibat dalam pasaran kewangan seperti Bursa Malaysia.. anda mungkin hanya perlu melabur serendah RM 100 setiap sebulan ke dalam 'unit trust' dan wang tersebut akan diuruskan oleh pengurus dana.. tidak mustahil simpanan anda akan mencecah RM 700,000 selepas 25 tahun menyimpan dengan pulangan pelaburan 10-20% setahun. Jumlah tersebut jika dicampur dengan wang simpanan dan KWSP mungkin mencecah 1 JUTA!!Cuma dalam keghairahan kita untuk melabur jangan pula terlibat dengan skim cepat kaya mahupun pelaburan internet. Sebab itu ditekankan mencari ilmu pelaburan bukannya melabur semborono sahaja.

Porfolio pelaburan anda mestilah bebas daripada hutang. Ini bermakna sumber kewangan di dalam portfolio tersebut mestlah datang dari anda sendiri. jika anda mempunyai lebihan wang pilih pelbagai jenis pelaburan. 'Diversify' itu penting supaya jika berlaku kerugian ada pelaburan lain yang dapat 'cover' kerugian tersebut. Melalui portfolio ini kita berusaha untuk melangsaikan hutang yang sedia ada; seperti hutang kad kredit, pinjaman bank, dan juga liabiliti lain. Semoga dengan istiqamah dalam menyediakan simpanan dan pelaburan tersebut segala hutang piutang dapat dilangsaikan sebelum kita bersara. Barulah kita dapat bersama dengan tenang dan memiliki kebebasan kewangan. Hati tenang, beribadah pun senang!!

rujukan - laporan akhbar Utusan Malaysia, 22 April 2010, Majalah Solusi 21.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails